Sunday, August 30, 2009

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Selamat Menyambut Ulang Tahun Kemerdekaan Ke-52 ke semua rakyat Malaysia.
Marilah kita bersama-sama mengekalkan kemerdekaan dari aspek pemikiran, tingkahlaku, cara hidup dan menjaga budaya kita yang semakin terhakis.
Sempena ulang tahun kemerdekaan ini juga marilah kita sama-sama merenung masa depan kita serta waris kita yang dianggap bakal menghadapi pelbagai dugaan yang lebih mencabar pada masa akan datang.
Manakan tidak lihat saja anak muda yang semakin tenggelam dalam arus zaman serta alpa dalam keseronokan dunia mereka tanpa mengendahkan erti kemerdekaan seperti yang diharungi oleh pejuang kemerdekaan.
Lihat saja tingkahlaku anak muda zaman sekarang yang seakan lupa kesusahan pejuang kemerdekaan memperjuangkan masa depang negara sehingga tercapainya kemajuan yang dicapai kini.
Mungkin kita sedih dan pilu melihat sikap anak muda sekarang tidak mengira bangsa yang seolah-olah tidak mahu memikirkan masa depan mereka dan membiarkan "perkara negatif" terus mengiring hidup mereka.
Pertemuan dengan dua wanita, masing-masing berbangsa Cina dan India hari ni sebenarnya menyentuh perasaan saya. Ketika menghantar kereta adik diperbaiki di sebuah bengkel di Petaling Jaya petang tadi, saya bertemu dengan seorang wanita Cina yang menganuti Kristian.
Dia kelihatan tidak sabar untuk pulang dan memastikan mekanik di bengkel itu untuk memperbaiki keretanya dengan cepat, Saya pun bertanya kenapa macam tergesa-gesa.
Dia menjawab, dia perlu balik awal kerana gereja berhampiran rumahnya akan mengendalikan satu sembahyang khas sempena menyambut kemerdekaan dan meminta kepada tuhanya supaya Malaysia kekal aman makmur sert harmoni. Saya tergamam dengan jawapan yang diberikan.
Berdasarkan ceritanya, dia pernah bekerja di Amerika Syarikat dan UK tapi tetap pulang ke Malaysia kerana baginya negara ini disifatkan sebuah tempat yang aman dan damai untuknya untuk hidup serta menjalankan kerja amal.
Dia turut menceritakan perihal kerja amalnya sejak pencen setahun lalu sebagai seorang jururawat. Menurutnya, apa yang dilakukan sekarang ialah memberikan motivasi kepada pesakit kronik dan juga mereka yang selepas menjalani pembedahan supaya lebih tabah.
Katanya, apa yang dilakukan sekarang adalah satu tanggungjawab sosial kerana ramai antara pesakit kurang keyakinan diri kerana tidak mendapat suntikan semangat yang baik. Tahniah saya ucapkan kepada.
Satu lagi pengala,man berguna hari ni apabila saya bertemu seorang wanita India yang kelihatan sibuk mengangkat makanan ke sebuah dewan serbaguna di kondo saya. Apabila ditanya adakah dimemerlukan bantuna saya, dia menjawab ada rakan lain yang membantu.
Sebaik menjawab soalan saya, dia lantas mengajak saya ke satu jamuan yang diadakan sempena menyambut meredeka dan sedikit "kenduri" mengikut cara mereka supaya negara kita terus harmoni dan maju.
Kedua-dua perkara ini adalah satu contoh yang baik mungkin dan tidak keterlaluan jika dikatakan inilah 1Malaysia...

MERDEKA!!!

Monday, August 24, 2009

Kenangan masa kecil

Setiap kali Ramadan saya pasti teringat kembali kisah silam ketika mula belajar puasa. Saya mula belajar puasa ketika berusia 6 tahun kerana setiap kali puasa penuh pasti ada habuan sama ada dari arwah datuk ataupun ayah.
Biasanya atuk akan bagi upah RM1 sehari manakala ayah juga RM1 sehari tidak termasuk membeli juadah puasa di beberapa gerai tidak jauh dari rumah saya ketika itu, kuarters kakitangan kerajaan di Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan.
Saya dianggap anak yang paling nakal daripada empat beradik, manakan tidak mengaku puasa tapi kadang-kadang curi-curi minum air dari peti sejuk. Tapi banyak kali juga perbuatan saya dikesan ibu bapa, adik beradik ataupun pembantu rumah Mek yang berasal dari Marang, Terengganu.
Bagaimanapun, ketika berusia 8 tahun, ayah berpendapat sudah sampai masanya saya berpuasa penuh kerana kakak dan abang mula berpuasa penuh ketika berusia 7 tahun. Maklumlah kakak dan abang dianggap mereka yang dengar kata tidak seperti saya. Nakal katakan.
Ketika berusia 8 tahun, ada satu hari dalam bulan Ramadan saya terasa dahaga dan lapar sangat kerana sebelum itu asyik bermain basikal ke hulu ke hilir macam orang tak puasa. Kira-kira jam 5 petang teras anak minum. Cuba minta izin dari emak dan ayah untuk minum tapi ayah kata sabarnya lagi beberapa jam saja dah waktu berbuka.
Sebelum itu, ayah ada beli kuih kegemaran saya karipap inti kari ayam, kuih gulung hijau inti kelapa dan emakl pula buat puteri mandi (memang kegemaran saya sehingga kini). Tapi disebabkan kedegilan yang melampau, saya tetap ikut hati dengan minum air kotak dari peti ais.
Ketika waktu berbuka puasa, ayah menghukum saya dengan tidak dibenarkan sebarang makanan yang dihidangkan di meja makan dan terpaksa duduk raung tamu menonton televisyen. Sayu juga hati dibuatnya kerana tidak berpeluang menikmati makanan kegemaran.
Lebih menyedihkan, ayah turut memastikan semua makanan kegemaran saya habis dimakan oleh abang, kakak, emak dan pembantu rumah. Sebak dibuatnya sehingga menanggis apabila mendapati makanan kegemaran habis.
Sejak itu, saya berazam untuk berpuasa penuh hingga sekarang. Serik dibuatnya. alhamdulillah sudah lebih 30 tahun saya berpuasa penuh dan berharap Allah memberikan saya kesihatan yang baik pada masa akan datang.
Satu lagi kenangan Ramadan yang tidak akan dilupakan apabila saya menyambut Hari Raya ketika berusia 9 tahun di wad Hospital Besar Seremban. Manakan tidak emak suruh buang sampah pada petang sehari sebelum Aidilfitri tapi saya leka bermain basikal sampai terjatuh serta cedera parah. Oleh kerana cedera parah dan kurang peralatan di Hospital Petaling Jelebu ketika itu, saya dipindahkan ke Hospital Seremban. Tertawa sendirian dibuatnya apabila teringat kenakalan saya ketika kecil...

Saturday, August 22, 2009

RPBIC2009

Tahniah Team Joran Berita Harian





Minggu lalu, 14-16 Ogos Team Joran Berita Harian sekali lagi menganjurkan Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) 2009 edisi ke-6 yang membabitkan lebih 120 peserta manakala 75 peratus adalah peserta luar negara.

Pertandingan memancing bertaraf antarabangsa itu turut mendapat pengiktirafan IGFA dan lebih meriah apabila ia turut dihadiri oleh TM Pahang serta beberapa "orang besar" NSTP, Datuk Ahmad A Talib.

Dengar cerita itu adalah hasil kerja terakhir buat pengarang Unit Joran, saudara Mohd Kamal Ahmad yang akan memulakan tugas baru sebagai pengarang opinion leader juga di Berita Harian berkuatkuasa 17 ogos lalu.

Bagaimanapun, syabas kepada orang kuat Team Joran - saudara Umbai, Aznim dan semua warga pasukan itu yang mampu mengendalikan pertandingan memancing berprestij serta mampu membuka mata dunia untuk menjadikan Rompin, Pahang sebagai destinasi memancing ikan layaran dan marlin. Syabas!!!

Kawan dimaklumkan penyertaan peserta tempatan turut bertambah manakala penggunaan bot sendiri di kalangan peserta tempatan juga meningkat. Ini satu petanda baik untuk pemancing di negara ini dan sekali gus dapat merancakkan lagi industri berkaitan seperti industri pembuatan bot, pengusaha tri memancing, tekong dan mereka berkaitan.

Bagaimanapun, kerancakan ini boleh terencat jika pihak berkuasa gagal mengawasi aktiviti menangkap ikan yang dianggap "tamak" di sekitar perairan Rompian hingga mengakibatkan kepupusan pelbagai ikan termasuk layar dan marlin.

Bayangkan betapa rakusnya nelayan bot tunda di Rompin apabila ikan layar dan marlin yang disifatkan tidak memiliki nilai komersil yang tinggi serta hanya mampu dijual dengan RM4 sekilogram turut menjadi mangsa.

Mungkin ramai tidak mengetahui, Rompian sememangnya antara destinasi popular di kalangan kaki pancing dari laur negara yang mengamal konsep memancing tangkap & lepas untuk mencuba nasib menjinakkan marlin dan layar.

Industri memancing hakikatnya mampu memberikan pulangan lumayan jika kena caranya. Bukti jelas ialah apabila Chong Brothers, Janggut, Ah Wah, Ah Liang, Ah Xiong, Yaziz Merchong dan ramai lagi pengusaha bot memancing di sekitar Rompin dan Merchong mampu menjadikan industri memancing sebagai sumber rezeki.

Bagaimanapun, kepupusan serta jumlah ikan berkurangan termasuk layar dan marlin menyebabkan sumber pendapatan pengusaha bot memancing terbabit turut terjejas.
Secara tidak langsung anak dan cucu kita nanti juga mungkin tidak berpeluang melihat pelbagai spesies ikan yang berhadapan dengan kepupusan.

Oleh itu, bukalah mata wahai rakan-rakan bantulah Persatuan Pemancing Malaysia (PeMM) yang sedang berusaha untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai kepupusan pelbagai spesies dan mengurangkan kerakusan segelintir nelayan....

Berfikir dan bertindaklah sebelum terlambat
Ramadhan

Selamat Menyambut Ramadhan Al Mubarak kepada semua umat Islam.
Semoga puasa kali ini diberkati Allah serta memberi ruang untuk kita menginsafi diri dan melaksanakan amal ibadat yang berlipat ganda. Insyallah.