Monday, August 24, 2009

Kenangan masa kecil

Setiap kali Ramadan saya pasti teringat kembali kisah silam ketika mula belajar puasa. Saya mula belajar puasa ketika berusia 6 tahun kerana setiap kali puasa penuh pasti ada habuan sama ada dari arwah datuk ataupun ayah.
Biasanya atuk akan bagi upah RM1 sehari manakala ayah juga RM1 sehari tidak termasuk membeli juadah puasa di beberapa gerai tidak jauh dari rumah saya ketika itu, kuarters kakitangan kerajaan di Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan.
Saya dianggap anak yang paling nakal daripada empat beradik, manakan tidak mengaku puasa tapi kadang-kadang curi-curi minum air dari peti sejuk. Tapi banyak kali juga perbuatan saya dikesan ibu bapa, adik beradik ataupun pembantu rumah Mek yang berasal dari Marang, Terengganu.
Bagaimanapun, ketika berusia 8 tahun, ayah berpendapat sudah sampai masanya saya berpuasa penuh kerana kakak dan abang mula berpuasa penuh ketika berusia 7 tahun. Maklumlah kakak dan abang dianggap mereka yang dengar kata tidak seperti saya. Nakal katakan.
Ketika berusia 8 tahun, ada satu hari dalam bulan Ramadan saya terasa dahaga dan lapar sangat kerana sebelum itu asyik bermain basikal ke hulu ke hilir macam orang tak puasa. Kira-kira jam 5 petang teras anak minum. Cuba minta izin dari emak dan ayah untuk minum tapi ayah kata sabarnya lagi beberapa jam saja dah waktu berbuka.
Sebelum itu, ayah ada beli kuih kegemaran saya karipap inti kari ayam, kuih gulung hijau inti kelapa dan emakl pula buat puteri mandi (memang kegemaran saya sehingga kini). Tapi disebabkan kedegilan yang melampau, saya tetap ikut hati dengan minum air kotak dari peti ais.
Ketika waktu berbuka puasa, ayah menghukum saya dengan tidak dibenarkan sebarang makanan yang dihidangkan di meja makan dan terpaksa duduk raung tamu menonton televisyen. Sayu juga hati dibuatnya kerana tidak berpeluang menikmati makanan kegemaran.
Lebih menyedihkan, ayah turut memastikan semua makanan kegemaran saya habis dimakan oleh abang, kakak, emak dan pembantu rumah. Sebak dibuatnya sehingga menanggis apabila mendapati makanan kegemaran habis.
Sejak itu, saya berazam untuk berpuasa penuh hingga sekarang. Serik dibuatnya. alhamdulillah sudah lebih 30 tahun saya berpuasa penuh dan berharap Allah memberikan saya kesihatan yang baik pada masa akan datang.
Satu lagi kenangan Ramadan yang tidak akan dilupakan apabila saya menyambut Hari Raya ketika berusia 9 tahun di wad Hospital Besar Seremban. Manakan tidak emak suruh buang sampah pada petang sehari sebelum Aidilfitri tapi saya leka bermain basikal sampai terjatuh serta cedera parah. Oleh kerana cedera parah dan kurang peralatan di Hospital Petaling Jelebu ketika itu, saya dipindahkan ke Hospital Seremban. Tertawa sendirian dibuatnya apabila teringat kenakalan saya ketika kecil...

No comments:

Post a Comment