Saturday, August 22, 2009

RPBIC2009

Tahniah Team Joran Berita Harian





Minggu lalu, 14-16 Ogos Team Joran Berita Harian sekali lagi menganjurkan Royal Pahang Billfish International Challenge (RPBIC) 2009 edisi ke-6 yang membabitkan lebih 120 peserta manakala 75 peratus adalah peserta luar negara.

Pertandingan memancing bertaraf antarabangsa itu turut mendapat pengiktirafan IGFA dan lebih meriah apabila ia turut dihadiri oleh TM Pahang serta beberapa "orang besar" NSTP, Datuk Ahmad A Talib.

Dengar cerita itu adalah hasil kerja terakhir buat pengarang Unit Joran, saudara Mohd Kamal Ahmad yang akan memulakan tugas baru sebagai pengarang opinion leader juga di Berita Harian berkuatkuasa 17 ogos lalu.

Bagaimanapun, syabas kepada orang kuat Team Joran - saudara Umbai, Aznim dan semua warga pasukan itu yang mampu mengendalikan pertandingan memancing berprestij serta mampu membuka mata dunia untuk menjadikan Rompin, Pahang sebagai destinasi memancing ikan layaran dan marlin. Syabas!!!

Kawan dimaklumkan penyertaan peserta tempatan turut bertambah manakala penggunaan bot sendiri di kalangan peserta tempatan juga meningkat. Ini satu petanda baik untuk pemancing di negara ini dan sekali gus dapat merancakkan lagi industri berkaitan seperti industri pembuatan bot, pengusaha tri memancing, tekong dan mereka berkaitan.

Bagaimanapun, kerancakan ini boleh terencat jika pihak berkuasa gagal mengawasi aktiviti menangkap ikan yang dianggap "tamak" di sekitar perairan Rompian hingga mengakibatkan kepupusan pelbagai ikan termasuk layar dan marlin.

Bayangkan betapa rakusnya nelayan bot tunda di Rompin apabila ikan layar dan marlin yang disifatkan tidak memiliki nilai komersil yang tinggi serta hanya mampu dijual dengan RM4 sekilogram turut menjadi mangsa.

Mungkin ramai tidak mengetahui, Rompian sememangnya antara destinasi popular di kalangan kaki pancing dari laur negara yang mengamal konsep memancing tangkap & lepas untuk mencuba nasib menjinakkan marlin dan layar.

Industri memancing hakikatnya mampu memberikan pulangan lumayan jika kena caranya. Bukti jelas ialah apabila Chong Brothers, Janggut, Ah Wah, Ah Liang, Ah Xiong, Yaziz Merchong dan ramai lagi pengusaha bot memancing di sekitar Rompin dan Merchong mampu menjadikan industri memancing sebagai sumber rezeki.

Bagaimanapun, kepupusan serta jumlah ikan berkurangan termasuk layar dan marlin menyebabkan sumber pendapatan pengusaha bot memancing terbabit turut terjejas.
Secara tidak langsung anak dan cucu kita nanti juga mungkin tidak berpeluang melihat pelbagai spesies ikan yang berhadapan dengan kepupusan.

Oleh itu, bukalah mata wahai rakan-rakan bantulah Persatuan Pemancing Malaysia (PeMM) yang sedang berusaha untuk meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai kepupusan pelbagai spesies dan mengurangkan kerakusan segelintir nelayan....

Berfikir dan bertindaklah sebelum terlambat

No comments:

Post a Comment